HAK WANITA DALAM PERKAHWINAN
Dalam era kemajuan kini, kaum wanita berpotensi menjadi sumber pembangunan dalam pelbagai bidang sosial, ekonomi dan politik. Berpegang kepada hakikat ini, pada tahun 1989, kerajaan telah menggubal satu dasar yang berkaitan wanita iaitu Dasar Wanita Negara yang mengiktirafkan hak-hak wanita.
Dasar yang digubal ini, mendukung cita-cita negara dan Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kedaulatan, kemakmuran, keadilan, kebebasan serta hak-hak asasi manusia. Selain daripada itu, dasar tersebut juga memberi panduan serta hala tuju dalam semua aspek perancangan dan perlaksanaan program pembangunan negara khususnya yang melibatkan kaum wanita secara langsung ataupun tidak tanpa diskrimanisi atau sebab kejantinaannya.
Dari sudut Islam, martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah. Walaupun agama Islam tidak menyamakan antara lelaki dan perempuan, tetapi agama Islam menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam. Terdapat petikan al-Quran dan Hadith yang berkaitan dengan wanita. Antaranya di dalam surah al-‘Imran ayat 195 Allah berfirman yang bermaksud......
" Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain”.
Begitu juga dalam Hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
“Wanita itu adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya, dan akan ditanya tentang pimpinannya”.
Berdasarkan ayat al-Quran dan Hadith tersebut ia jelas menunjukkan bahawa agama Islam memartabatkan kaum wanita.
Di dalam undang-undang Keluarga Islam yang terlaksana di Malaysia (rujukan kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984), hak seseorang wanita telah ditentukan dengan jelas bagi setiap negeri. Tujuannya ialah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya mereka mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas dengan sewenang-wenangnya disamping membolehkan pihak wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan kepada tuntutan hukum syarak. Antara hak wanita yang terkandung di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia adalah seperti berikut:
1) HAK UNTUK BERKAHWIN
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, hak seorang wanita untuk berkahwin telah diperuntukkan dengan jelas di bawah seksyen 8 iaitu:
"Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 12 belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu".
Tujuan peruntukkan ini dibuat bukanlah sebagai satu bentuk sekatan bagi pasangan pengantin berkahwin pada umur yang muda, namun ia bertujuan untuk memastikan setiap pasangan mempunyai tahap kematangan yang mencukupi dan mempunyai persediaan untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam institusi kekeluargaan. Jelas, dengan peruntukkan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes-kes perceraian dan masalah kes suami yang tidak mampu memberi nafkah dan tidak bertanggungjawab sebagai seorang suami.
2) HAK TERHADAP MAS KAHWIN
Wanita juga diberi hak sepenuhnya terhadap mas kahwin yang dibayar terhadapnya masa akad nikah dijalankan, bahkan hak isteri ke atas mas kahwin tersebut tidak boleh digugurkan atas alasan perceraian ataupun pembubaran perkahwinan. Jika suami masih berhutang mas kahwin terhadap bekas isterinya, maka bekas isterinya boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah untuk mendapatkan jumlah mas kahwin yang masih terhutang.
3) HAK DALAM POLIGAMI
Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 telah menetapkan hak bagi setiap wanita untuk mendapat perlindungan daripada suami yang berpoligami. Akta ini telah menetapkan beberapa syarat sebelum seseorang lelaki dibenarkan berpoligami. Seksyen 23 ada menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih di dalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah. Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran bertulis sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23 dan kemudiannya berkahwin lagi, maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda sehingga RM1000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
4) HAK-HAK LAIN
Hak untuk mendapatkan perceraian secara khulu’ atau tebus talak bagi membatalkan ikatan perkahwinan dengan sebab-sebab yang munasabah dan telah diputuskan oleh Mahkamah seperti diperuntukkan dalam subseksyen 49(1):
“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, Mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sughra atau tidak boleh diruju’.”
Secara ringkasnya,ini adalah diantara peruntukkan yang secara jelas memberi satu kelebihan dan menjaga kedudukan mereka sebagai seorang isteri dalam perkahwinan. Dengan adanya peruntukkan Undang-Undang Keluarga Islam, diharapkan bahawa kaum wanita dapat berfikir bijak dan dapat menentukan hak-hak mereka supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin. Sesungguhnya Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah diciptakan oleh Allah. Perlu diingat bahawa segala kelebihan ini perlulah digunakan secara bijaksana dan meskipun Islam telah memberi segala hak kepada wanita, mereka perlulah tidak melampaui batas serta tidak “meminta-minta” atau cuba melaksanakan peraturan yang terlalu menonjol hingga melampaui batasan mereka sebagai seorang wanita.Walau apapun hak yang cuba ditegakkan oleh mereka atas alasan hak mereka sebagai seorang wanita.


Pada pandangan saya, hak wanita amat dititikberatkan dalam mana-mana hak asasi manusia. Hak wanita amat ditekankan seperti yang terdapat dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat atau UDHR dan juga Deklarasi Kaherah Hak Asasi Manusia Islami. Seperti mana yang dinyatakan dalam UDHR, Perkara 25 (2), 'Ibu' dan anak adalah berhak kepada jagaan serta bantuan khas, manakala dalam Deklarasi Kaherah Hak Asasi Manusia Islami (Artikel 3), ditekankan tidak dibenarkan membunuh golongan tidak berperang seperti orang tua, 'wanita' dan kanak-kanak.
ReplyDelete